Untuk perlawanan suku akhir Piala Dunia tahun ni nampak macam aku boleh tonton semua sebab ia akan berlangsung dua malam je. Esok pukul sebelas malam dan pukul tiga pagi, dan lusa juga sama; dan kebetulan esok dan lusa ialah hujung minggu. Jadi, aku saja cakap nak lepak mamak tengok bola secara terus menerus, dan kebetulan ada yang nak ikut serta, jadi aku terus buat poster. Kelakar juga sebenarnya, aku teringat pada poster Doktor Zulkifli Al-Bakri yang juga buat aktiviti menonton bola untuk Brazil melawan Crotia dan disambung dengan acara lain, seperti tazkirah, solat hajat, jamuan dan cabutan bertuah. Kebetulan juga aku tengah rajin nak menguasai penggunaan Canva - sebab isteri aku ada akses penuh, dapat percuma sebab dia cikgu - jadi aku ambil peluang untuk manfaatkannya. Mungkin lepas ni aku bolehlah jadi pereka grafik sambilan.
Untuk malam seterusnya, tak pasti lagi sama ada aku akan tonton di mamak atau di rumah. Biasa kalau kat rumah, macam ni la aku tengok.
Sebenarnya macam susah juga kali ni nak cari pautan percuma, tak tahu la sebab aku buka dari telefon ke apa, dulu masa Piala Dunia sebelum ni, bersepah juga yang berikan pautan percuma. Waktu itu aku tonton di komputer riba. Aku memang suka tengok kat pautan percuma sebab ia dari siaran televisyen yang rambang. Dulu aku pernah dapat siaran Perancis, Tierry Henry siap jadi pengulas, tapi berabuk dia cakap Perancis, haram aku tak faham. Kadang dapat dari negara Latin, ada juga negara Arab. Seronok juga sebab lain-lain komentator walaupun aku tak faham. Tahun ni aku dapat satu pautan je dan malas nak cari lain (sebelum ni ada satu laman yang berikan beberapa pautan, kalau satu tak berfungsi, boleh guna yang lain, dan semua lain-lain negara). Dan tahun ni punya aku tak pasti sama ada Thai atau Vietnam atau Kemboja sebab bahasa pengulasnya kedengaran macam tu lah. Dan aku syak laman yang aku tonton ni sebenarnya diusahakan oleh bookie atau pengantara judi dalam talian, sebab asyik iklan judi. Aku syak la, sebab macam pelik sangat iklan judi dia. Ada satu waktu tu, pengulas dia tiba-tiba senyap agak lama juga. Aku pun tak tahu sebab aku tak faham bahasa dia jadi aku tak tau la kalau dia ada bagitau kenapa tiba-tiba dia senyap lama gila.
*
Sebelum ni aku syak perlawanan akhir ialah antara Brazil melawan England, aku tukar la, sebab ada Brazil mana entah masa sidang media pasukan dia boleh campak je kucing macam tu jee. Aku tukar Brazil dengan Belanda lah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan