Sebenarnya saya tak begitu membaca tajuk filem, sama seperti saya tak pernah meneliti latar belakang filem sebelum hadir ke Wayang Budiman. Jika saya fikir betul-betul tentang tajuk filem ini mungkin saya akan sedar filem ini walau punya tonggak utama, tapi ia punya beberapa cerita lain di dalamnya; dan ia adalah perkara yang paling saya suka tentang filem ini.
Berbanding filem (dua) minggu lepas, saya fikir Flowers Of The City Jail nampak lebih organik dan ia punya cerita yang kuat dan menarik, dari satu sudut pandang yang umum tak hiraukan. Ia seakan menutup segala perkara yang saya nyatakan tentang filem (dua) minggu lepas, tentang era dan zaman filem ini dirakam. Begitu juga selain metafora flowers (saya tak perasan ia adalah flowers, bukan flower), saya juga terlepas pandang tentang hal city jail. Saya fikir ia adalah sebuah penjara, sedangkan ia lebih merujuk kepada lokap. Pusat tahanan sementara. Bukan tempat menjalani hukuman, tapi tempat menunggu perbicaraan.
Kekuatan filem ini bagi saya memang pada penceritaannya. Selalunya jika cerita (asing) kita akan sukar menjejak aliran watak-watak di dalamnya, tapi setiap watak agak jelas karakternya dan kita tak hilang sangat fokus. Kita tahu watak ini konsisten, kita tahu watak ini ada perkembangan, dan berdasarkan ini semua, ia jadi jalan cerita yang mengejutkan. Brutal tapi ia jujur.
Saya selalu terfikir, dalam lingkungan Asia Tenggara, industri sinema Filipina adalah yang terbaik berbanding negara lain di dalam rantau (ada dua kali zaman kegemilangan sinema yang mereka lalui) dan saya terfikir adakah sekarang begitu juga. Setakat komen yang saya terima, memang masih lagi, kerana filem-filem mereka masih lagi memenangi banyak anugerah luar. Cuma sayangnya ia tak masuk ke pasaran kita (kita asyik terima pasaran Indonesia, dan ada waktu, Thailand - itupun genre seram). Pernah juga masuk dalam pasaran tapi tak begitu ketara, dan masih lagi dalam genre selamat, iaitu genre seram.
Sebagai orang luar dan bukan pengikut filem dan sinema yang arif, sukar juga saya bayangkan bagaimana filem-filem Filipina ini lebih maju dari negara ini, jika saya bandingkan berdasarkan telenovela-telenovela Filipina (mungkin ini saja gambar yang ketara diimport dari sana).
*
Ada beberapa babak menarik yang saya suka, seperti babak pembuka yang mengingatkan saya kepada babak pembuka filem Gubra. Dan juga syot pantas di antara tanah perkuburan (kristian) berlegar dari nisan dan patung-patung di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan