Teluk Cempedak di luar pagar.

Aku tak tahu la dari mana agaknya aku dapat idea ni tapi aku selalu rasa Teluk Cempedak ni kat Port Dickson. Memang aku tahu ada Teluk Kemang kat sana tapi aku selalu fikir Teluk Cempedak pun ada kat sana. Lepas tu aku pergi Kuantan lepas tu aku fikir, oh sini ke Teluk Cempedak. Aku pergi Kuantan lepas tu banyak juga aku jem tapi paling utama, bukanlah pasal Teluk Cempedak, tapi pasal kenapa macam jarang sangat dengar orang cerita pasal pantai kat Kuantan? Dah alang-alang cerita pasal Port Dickson, aku rasa pantai kat Kuantan ni, aku pergi Teluk Cempedak dengan Batu Hitam, lagi elok dan seronok berbanding pantai Port Dickson, malah aku rasa pergi Kuantan ni lagi elok berbanding pergi Port Dickson. Pantai Port Dickson memang padat betul dengan orang dan pantai dia takde la best sangat. Aku rasa pantai kat Teluk Cempedak tu lagi cantik. Ramai orang tapi tak padat. Tempat dia rasa lapang, walau masih ada orang busking dan juga cosplayer (aku jumpa Spiderman). Tu belum masuk lagi hal Kepci, Mekdi dan Sbux yang betul-betul kat tepi pantai. (Aku selalu dengar orang cakap Sbux Teluk Cempedak tu lawa, lepas aku pergi tu, aku rasa dah tak lawa sangat, nampak macam dah lama, dan tak dibersihkan luarannya, ada kemungkinan sebab sebelah pantai jadi memang susah nak menten. Selain tu, pemandangan dia pun agak terganggu juga dengan menara peninjau betul-betul blok pandangan ke pantai dari Sbux.) Jalan depan sikit ada banyak kedai makan, dan selalunya aku tahu tempat tumpuan pelancong ni memang jarang la nak jumpa medan selera yang sedap tapi silap juga jangkaan aku. Mungkin sebab aku dah rendahkan jangkaan, jadi dia rasa sedap kot. Depan sikit lagi ada laluan kayu sepanjang teluk (kot) cuma aku tak pergi la sebab aku dah fikir nak balik je. Kahkah. Tapi aku boleh bayangkan, kalau lain kali nak datang, memang aku datang naik motor. 

Berbalik kepada hal asal, jujurnya aku pelik kenapa orang tak cerita pasal pantai Kuantan? Aku rasa lagi la elok pergi situ dari pergi Port Dickson atau pergi Cameron. Aku pergi pantai Batu Hitam, dekat situ ada orang jual celup tepung. Aku sebenarnya baru tahu celup tepung ni apa, lepas aku makan aku pun fikir, yelah nak panggil bendalah ni apa kalau bukan celup tepung sebab segala benda dia celup tepung. Cuma ada hilang tarikan sikit sebab tak sebut apa benda yang dicelup tepungnya sebab semuanya makanan laut. Sotong, udang, dengan apa entah lagi. Aku boleh bayangkan celup tepung ni memang jenis juadah yang agak muak, tapi lepas makan kat situ, aku boleh kata, kalau resipi dan masakan dia betul, tak muak pun. Mungkin aku asyik terbayang macam pisang, keledek, keladi atau tempe bila sebut celup tepung.  Dekat sebelah aku makan ni pun ada penjaja tepi jalan. Ada rasa macam pantai Remis jugak. Tapi banyak tempat parkir dan parkir tak sempit. Tu belum aku cerita aku geram je nampak ada kedai kopi tepi pantai tepi jalan. Nak singgah tak sempat.  

Mungkin satu perkara yang aku perasan, pantai timur, termasuk la Kuantan ni, dia tak ada matahari terbenam dekat laut. Kira kalau nak tengok matahari terbit bolehlah, tapi matahari terbenam dekat daratan. Kira kat sini luka tak boleh mencair menjadi maghrib la. Kahkahkah. Aku nak main layang-layang pun payah, sebab asyik silau dengan matahari je. Angin dia dari laut, jadi bila aku pegang tali layang-layang menghadap laut, layang-layang ada kat belakang aku. Aku kena pusing belakang tapi nak tengok layang-layang susah sebab matahari pun kat situ juga (kan dia nak terbenam kat daratan).

Lepas tu makan malam, ada banyak kedai makanan laut, lebih kurang macam dekat Jeram atau Remis. Senang cakap, macam mana-mana kawasan pantai yang ada restoran makanan laut la, jenis pilih ikan, udang dan sotong lepas tu suruh masakkan. Aku cuba satu kedai yang paling tak sibuk, tapi macam biasa la, aku periksa Google Review, tengok rating kedai tu dengan kedai lain tak jauh beza pun. Semua tak sampai 4, tapi dalam 3.6 ke 3.9 macam tu. Lepas makan, aku rasa macam makan makanan siam pun iye. Segala benda masam. Tak, bukan aku cakap tak sedap. Cuma lagi sekali aku konfius, Kuantan tapi makanan dalam estetik Siam? Lepas tu aku terfikir jap apa identiti kulinari Kuantan? Aku pun tak tahu. 

Aku selalu fikir kat Kuantan ada sungai je. Mungkin selalu orang cakap bila musim tengkujuh tu sungai Kuantan paras air naik, jadi aku asyik ingat Kuantan ada sungai je. 

Okeh, selain tu, perjalanan ke Kuantan, rehat dan rawat dia pun menarik jugak. Ada kafe kat dua-dua arah rehat dan rawatnya (aku lupa la kat Gambang ke Temerloh). Kedai makan pun banyak dan meriah tapi bagi aku tak meriah la sebab lauk utama semua ikan. Kahkah. Aku tak makan ikan, dekat rehat dan rawat ni gila babi punya beria-ia jual lauk patin. Ada juga ikan lain. Tapi aku pandang serong je la sebab tak makan ikan. Oh, sebab banyak jual ikan, jadi kebanyakan menunya ialah nasi campur. 

Rehat dan rawat Genting Sempah lagi la jangan cerita. Tapi aku tak singgah pun. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan