Waktu aku tulis Menyeduh Pagi, ia datang secara spontan. Aku boleh ingat ia macam antara waktu aku tengah sibuk menyiapkan cerpen-cerpen lain dan sampai satu masa aku ada rasa macam aku dah lama tak menulis cerpen baru (sebab asyik menyudahkan draf cerpen lama) dan kebetulan satu pagi (kot, aku dah lupa tapi rasanya macam awal pagi pada tengah malam) aku terlintas satu idea dan terus siapkan segala kerja lain dan duduk depan komputer dan menaip cerpen tu. Aku siap taip keseluruhan cerpen dalam sekali duduk, tapi aku masih anggap ia sebagai draf kasar, jadi selesai menaip, aku tidur kot dan biarkan sepanjang hari berlalu, dan selepas dua puluh empat jam, sekali lagi aku buka cerpen tu dan mula melakukan suntingan dan memperkemaskannya, dan terus emel.
Aku hantar ke editorial beberapa hari sebelum raya puasa tapi hanya dapat disiarkan beberapa hari menjelang raya haji. Kira okey la, sebab aku terlebih konpiden nak gunakan token tu untuk buat duit tambah sempena raya. Kahkah. Raya la juga, cuma raya haji la.
Waktu menulis cerpen ni, tak ada apa-apa proses yang pelik sangat, cuma aku memang dari dulu dah bertekad untuk menulis cerpen dengan detail-detail berkaitan kopi, sebagai cara aku untuk mengingati segala ilmu yang aku ada tentang kopi sebab aku dah rasa aku mula lupa dah tentang hal perkopian ni. Walau ia nampak macam cuba menunjuk-nunjuk tapi aku akan cuba buat ia sesantai mungkin. Dan serendah diri yang mungkin. Mungkin ada hal yang biasa bagi aku tapi agak asing dalam masyarakat. Tapi selalunya susah juga nak dapat idea untuk cerpen begini sebab hal kopi ni agak meluas dan aku tak pasti nak mula dari mana. Dan kebanyakannya akan jadi macam buku teks. Dan aku tak letak ia sebagai keutamaan pun.
Cuma dalam masa beberapa minggu ni aku asyik terjumpa dan terbaca sedutan puisi dari buku puisi Lutfi Ishak berjudul Kafe. Sesuatu yang mengganggu aku bila membaca sedutan itu ialah ia melihat kafe dari sudut pengunjung atau pelanggan. Sudah tentu, sebab sudah berpengalaman berada di belakang bar dan menguruskan kafe, ia adalah dunia yang sangat berbeza dari sudut mata pelanggan dan pengunjung. Malah, aku juga memandang kafe dari sudut berbeza walau sebagai pelanggan. Maknanya aku tahu jika juruwang di kaunter itu melakukan hal yang tak sepatutnya, atau barista culas dalam kerjanya dan jika ambien kafe itu tak mengalu-alukan, atau bagaimana aku melihat kekemasan kafe pada kekemasan di belakang bar dan susun atur barang-barang di dalamnya. Jadi, setakat ini, aku terfikir untuk menulis manuskrip berjudul Kafe juga, dan hantar kepada penerbit yang sama juga, sebagai reaksi terhadap Kafe (puisi) tapi dalam bentuk cerpen. Tapi boleh jadi, dalam bentuk puisi prosa sebab sekarang tengah sibuk menulis benda-benda lain, jadi ada rasa takkan mengerjakan manuskrip ni dalam waktu terdekat dan mungkin waktu mula ditulis tu aku dah berjaya menulis puisi (atau juga manipulasi prosa untuk ia kelihatan seperti puisi).
Hal lain tentang Menyeduh Pagi, cerpen ini adalah cerpen aku yang paling jelas non jantina. Selama ni, aku cuba untuk menulis dengan latar, zaman, ras, gender dan umur yang kabur untuk ia relevan sepanjang waktu membacanya (sebab tulisan aku dikategorikan sebagai sastera pakai buang, jadi ia selalunya akan relevan pada ketika ia diterbitkan, jadi aku cuba jadikan ia sekabur yang mungkin supaya semua dapat rasa seperti cerita ini adalah cerita tentang mereka - juga ia sebab utama kenapa kebanyakan watak tulisan aku ada kecenderungan untuk tidak bernama. Walaupun ada ketika keperluan tulisan menyebabkan aku terpaksa juga letak latar, zaman, rasa, gender dan umur, tapi selalunya aku akan cuba untuk elakkannya). Ia bukan bertujuan untuk menyokong mana-mana gerakan atau ideologi tentang gender, tapi ia lebih kepada bagaimana sudut pandangnya mempengaruhi pembacaan individu. Dalam Menyeduh Pagi, aku tak nyatakan langsung gender kedua-dua watak, dan bagaimana pembaca meletakkan atau membayangkan wataknya, adalah kecenderungan dan persepsi individual, oh, dan juga biasan dari saya sebagai penulisnya (maksudnya bila nampak nama saya di ruang penulis, mungkin pembaca akan ia adalah dari sudut pandang lelaki - memang kecenderungan kita untuk letakkan jantina naratif sebelum mula membaca, pada jantina penulisnya).
Jadi, mungkin kedua-dua watak itu perempuan, atau kedua-duanya lelaki, atau berlainan jantina, ia terpulang pada pada persepsi. Lagipun ia sebuah cerpen yang aseksual (sepatutnyalah, walau ia ada nada romantis di antara kedua wataknya).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan