Aku rasa, salah satu benda yang agak poyo dibincangkan tapi sebenarnya macam perlu juga sebab tak semua orang akan ada pengalaman yang sama bila jadi penulis; ialah menurunkan tandatangan. Waktu mula-mula tulisan diterbitkan (secara eceran), ada majlis pelancaran. Aku tak ingat sangat macam mana aku bersedia untuk hadapi acara tu, tapi aku sampai agak lambat dan kebetulan memang semua tengah sibuk tandatangan. Oleh sebab memang tak ada meja, jadi memang tandatangan secara berdiri je. Bila je aku perkenalkan diri pada penerbit, terus dia maklumkan pada semua, okey ni ada lagi seorang penulis antologi (takde la dia cakap macam tu, tapi lebih kurang macam tu) dan beberapa orang datang kerumun aku dan minta tandatangan. Walau sebelum tu aku tak pernah ada buku (atau tulisan tersiar dalam buku) tapi pernah la aku lalui sesi orientasi dan entah berapa banyak team building yang salah satu aktiviti suaikenalnya ialah untuk minta dan beri tandatangan (serta maklumat ringkas lain) pada peserta lain, jadi dah bersedia la. Antara perkara lain yang aku sediakan ialah pen sebab pen kena sedap baru sedap nak menyain. Tapi, yang paling penting sekali, sebenarnya, di mana memang perlu difikirkan sejak awal ialah, bentuk tandatangan tu sendiri. Aku memang ada beberapa tandatangan dan secara jujurnya aku dah tak ingat tandatangan rasmi yang mana satu; sebab ada dua (ceritanya dulu aku main tandatangan je segala dokumen dengan nama panggilan dulu, lepas tu tiba-tiba macam baru ada akal, aku tukarlah tandatangan ikut nama sebenar aku - tapi taklah penuh - tapi lepas tu aku dah konfius yang mana aku guna untuk yang mana).
Jadi, aku dah fikir dari awal dah sebelum datang acara tu nak tandatangan macam mana. Aku memang cuba pilih yang paling ringkas dan senang nak buat supaya tak penat nak tandatangan banyak-banyak. Walaupun sebenarnya dengar macam poyo dan narsis, tapi betul, kita bukan tahu pun akan datang macam mana. Ceritanya, beberapa tahun lepas tu, ada lagi aku menulis untuk antologi, penerbit yang sama, tapi edaran terhad. Jadi, ceritanya, memang orang beratur panjang nak mampus masa pelancaran. Acara bermula pukul dua belas tengah malam (kenapa dua belas tengah malam, mungkin boleh usha kat Goodreads buku-buku dalam senarai tulisan aku, nanti nampaklah ada satu dan mungkin akan faham kenapa dia buat pukul dua belas tengah malam) dan ada sedikit pengenalan pada penulis-penulis, dan terus kepada sesi tandatangan. Okeh, mula pukul dua belas malam, aku terus tak berhenti turunkan tandatangan pada buku tu, bersama-sama penulis-penulis lain, sampai la pembeli yang terakhir ketika itu, pukul empat pagi. Gila babi juga bila fikir balik. Terus menerus dari tengah malam sampai pukul empat pagi sain buku, sampai aku ingat aku dah penat dan terturunkan tandatangan rasmi kat satu buku pembeli tu. Kahkah.
Sebab tu memang sebenarnya taklah poyo sangat kalau kau habiskan masa fikir nak sain macam mana ke apa gaya ke. Aku kira jenis praktikal juga la, apa omputih cakap, function over form, haa lebih kurang la. Ada je yang jenis lawa betul sain diorang, dan bagusnya ia sangat visual untuk dikongsikan pada platform sosial. Kira kat situ je dah boleh jadi konten.Tapi aku tak la.
Ada lagi satu benda aku lupa untuk fikirkan ialah kata-kata untuk pembaca masa turunkan tandatangan. Biasa ada penulis akan letakkan kata-kata (hikmah?) di atas tandatangan untuk jadikannya personal atau peribadi kepada pembaca yang minta sain tu tapi aku memang jenis tak tulis apa-apa kecuali, kepada/untuk (nama pembaca) - terima kasih dan selamat membaca! dan bawahnya tandatangan terus. Kalau aku rajin, aku letak tarikh (biasanya aku rajin, atau kalau aku tak letak tarikh, maknanya aku tengah konfius, eh biasa aku letak tarikh ke tak haa). Penulis lain, masyaallah, rajinnya nak tulis pannjang-panjang, aku pulak memang tak ada idea nak tulis apa (sebab aku dah tulis buku panjang-panjang kot kahkahkah). Aku kalau ada orang minta aku tulis sesuatu pada buku tu, aku terus jem kejap. Ya Allah aku nak tulis apeeee. Astogeee. Tapi takpe, aku tahu dah lepas ni kalau ada yang minta kata-kata ke spesel ke, aku tulis je lirik lagu Amuk. Setel masalah.
*
Masih dalam hal berkaitan tandatangan, aku dengar cerita Latiff Mohidin dah tak turunkan tandatangan pada buku-bukunya. Ada orang pernah minta tapi memang dia tak bagi. Aku tak tahu apa sebabnya, malah orang yang cakap dekat aku pun tak tahu kenapa. Benda yang kita boleh sangka kenapa hal itu berlaku, mungkin sebab menjaga keekslusifannya (macam Anuar Zain dah tak keluar menyanyi kat televisyen atau pertandingan juara lagu). Mungkin juga sebab dia seorang pelukis juga, jadi tandatangannya mahal. Mungkin la, kitorang agak je.
Tapi lepas kitorang rasa macam, lucu juga tiba-tiba kitorang sebagai penulis tak setaraf dengan Latif ni buat perkara yang sama. Contoh macam aku la, keluar buku baru je aku terus cakap boleh beli juga dengan aku, tapi tak dapat tandatangan. Kalau nak tandatangan, tu ambil la dekat kertas resit slip poslaju tu. Situ je aku tandatangan. Kahkah. Tiberr jadi ekslusif padahal buku aku bukan jual ribu-ribu pun.
Sebenarnya, aku yang selalunya tanya jika aku boleh sain ke tak. Dia lebih kurang camni, aku dah letak jangkaan dalam kepala yang memang semua pembeli akan mahu tandatangan, jadi aku memang sedia je bagi tandatangan. Dan untuk senangkan kerja, aku akan tanya terus, boleh ke nak sain. Atau nak sain ke? Tapi selalunya aku tanya boleh ke nak sain, sebab aku kan dulu kerja khidmat pelanggan, jadi memang selalunya aku akan pastikan apa-apa walau benda kecil, dengan pelanggan. Malas aku nak buat kerja dua kali. Ye, kadang tiba-tiba pelanggan cakap eh tak tanya pun, dah satu kerja nak betulkan balik. Kalau aku tanya, dan pelanggan tiba-tiba datang balik nak komplen, aku cakap je lah aku dah tanya dulu tadi.
Tapi macam biasa la, aku cuma tulis terima kasih dan selamat membaca!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan