Patutnya aku sekarang tengah sunting novelet dan siapkan untuk cetak edisi demo, tapi tiba-tiba aku ter-termenung dan lepas tu panjang pulak aku termenung. Aku tak ingat la pasal apa aku boleh termula termenung ni, tapi ni semua hal masa kat kampus dulu. (Kebetulan tadi aku ada kemaskini story kat ig gambar aku masa umur 20 tahun, dan ya, masa tu aku kat kampus dan tak banyak pun gambar masa tu, sebab aku rasa tak semua orang ada telefon berkamera dan juga sebab aku tak sempat simpan gambar tu kat mana-mana kot, gambar tu semua pun tangkap guna kamera digital. Dan masa tu ambil gambar boleh dikatakan hal yang masih berjimat cermat lagi, mungkin sebab nak jimat ruang dalam komputer, tak macam sekarang, dalam telefon aku pun entah ada berapa puluh ribu gambar yang aku pun tak tahu kenapa banyak sangat dan aku tak ada masa nak pilih satu-satu).
Aku rasa, sepanjang perjalanan hidup aku ni, mungkin ada beberapa yang aku fikir, akan mengubah perjalanan hidup aku, mungkin mengubah seratus peratus jugak kot. Aku siap fikir, silap-silap sekarang, aku masih belum menulis waima sebuah buku pun, atau kalau menulis pun, mungkin masih belum mencapai tahap seperti sekarang, atau mungkin kalau dah berjaya menulis buku tapi masih belum capai tahap sekarang tapi aku dah jual buku-buku tu lagi banyak dari sekarang. Mungkin sekarang aku belum kahwin dan ada anak. Mungkin aku kurus, lepas tu gemuk, lepas tu kurus balik, lepas tu gemuk balik macam sekarang. Atau mungkin korang akan selalu nampak nama aku dalam media massa. Entah.
Dulu masa mula-mula sambung belajar di kampus, aku ditempatkan di satu bilik kolej - ada empat katil, maknanya untuk empat orang. Aku masuk dengan ada lagi seorang penuntut yang sama batch dengan aku. Minggu orientasi, jadi kitorang masuk lebih awal berbanding penuntut lama. Nak jadikan cerita, walaupun pengurusan dah letakkan aku (dan lagi seorang tu) dalam bilik tu, tapi sebenarnya bilik tu ada penghuni lama dari semester-semester lepas. Kiranya, ada yang duduk haram kat bilik tu. Jadi, pendek cerita, lepas diorang semua naik semester, baru tahu bilik tu ada lima orang (sebab sorang duduk secara haram, tapi dia senior jadi yang baru masuklah kena mengalah). Oleh sebab diorang senior, diorang suruh kitorang cari bilik lain yang ada katil kosong, sama ada kitorang dua orang atau salah seorang lah, sebab dah ada satu je katil yang kosong.
Jadi dalam masa beberapa saat tu, aku ada rasa macam, berbelah bagi. Aku tak tahu kenapa, tapi, aku ada rasa ia macam keputusan yang agak besar untuk aku ambil walau aku tak tahu apa dia. Aku ada rasa macam, sama ada aku nak hidup tenteram atau aku nak chaos! Sama ada aku nak hidup tenang dan pilih selamat atau aku nak cabaran dan hidup mengikut acuan yang aku nak, walau ia melawan arus.
Akhirnya aku kata kat diorang, okey lah, takpe, aku pergi cari bilik lain. Aku tak pernah tahu apa akan jadi jika aku pilih untuk kekal dalam bilik tu, dan ada masa kalau aku bayangkan pun, ia akan masih kabur-kabur juga. Tapi secara ringkasnya, bila aku asyik terfikirkan hal ni, aku akan bayangkan, aku akan hidup dalam rock n roll. Mungkin macam rockstar. Mungkin korang pernah baca dalam entri sebelum ni, cita-cita dan minat aku yang utama bukanlah penulisan, dan kalau pernah baca biodata aku, aku ada tulis, menulis bagi aku adalah cara lain untuk menjadi immortal. Jadi apa cara yang utama? Muzik.
Betul, ni minat aku paling utama. Habis sekolah, aku beli gitar kapok dan aku belajar sendiri main gitar. Ada la juga orang lain tunjuk ajar, tapi minimal je. Lepas beli gitar, hari-hari aku praktis, siap bawa pergi tempat kerja, supaya bila tak sibuk, aku boleh praktis. Kawan-kawan sebaya aku tak ada yang minat muzik dan main gitar macam aku, dan diorang selalu ejek aku main gitar, tapi aku buat kental je. Masa dekat kampus je baru la bersyukur jumpa ramai kawan-kawan yang minat muzik, sampai masa kat kampus aku banyak habiskan masa dengan muzik, main gitar, main band dan juga sertai pancaragam (aku main snare drum) (sebab dekat markas pancaragam ada tempat nak jamming).
Cuma sayangnya, bila belajar sendiri, banyak benda yang aku tak tahu. Lagi pula dulu bukan senang nak cari rujukan macam sekarang kat internet. Aku belajar main gitar, dalam setahun tu jari dah lembut (maknanya dah boleh main dengan sedap) tapi pengetahuan aku agak terhad. Dan tahap permainan aku, aku rasa dari dulu sampai sekarang memang tersangkut dekat situ je. Tapi sebenarnya aku ada peluang masa kat kampus dulu tu nak tingkatkan kemahiran aku. Bila? Ha, ni yang aku cerita pasal bilik dekat atas tu.
Sebenarnya dalam bilik tu ada seorang senior yang memang power main gitar. Memang satu kolej tahu dia memang power gila main gitar. Kalau aku duduk sebilik dengan dia, memang kompom aku akan cuba usaha untuk dia ajar aku main gitar dengan betul. Tapi apa yang akan aku korbankan? Tak dapat A+ untuk MAT140, CGPA tak cantik, dan mungkin, aku akan belajar juga mabuk-mabuk, khayal-khayal, perempuan-perempuan juga. Silap-silap tak berjaya tamat pengajian. Mungkin la. Mungkin kalau aku berjaya tamat pengajian dan sambung lagi, mungkin lagi barai kot. Dan pastinya, aku akan lebih yakin untuk mengejar cita-cita dalam bidang muzik. Mungkin sekarang aku dah jadi muka yang biasa dalam kelompok muzik, kalau tak industri muzik. Mungkin aku takkan kenal siapa-siapa dari kelompok buku. Mungkin pembaca buku aku masih lagi tertunggu-tunggu buku kegemaran mereka ditulis. Mungkin aku tak kahwin lagi. Mungkin aku tak nak kahwin. Mungkin aku tak ada anak.
Entah.
Kalau ditanya jika apa aku fikir tentang pilihan ni, adakah ia pilihan yang betul atau salah atau sama saja, aku pun tak tahu. Tapi yang aku tahu, aku akan sentiasa pilih pilihan yang ada kedua-dua anak aku, Ariana dan Gibran. Mungkin sebab tu masa tu aku pilih untuk cari katil kosong dekat bilik lain kot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan