Semalam aku baru tonton Oppenheimer kat Space U8. Pertama kali pergi Space U8, aku rasa best jugak tempat dia. Tapi ye lah, cuma tak ada orang. Aku syak macam-macam boleh buat acara kat sini sebab luas gila. Dulu siap tiap-tiap minggu ada konsert Versus kat sini. Tapi macam biasa la, membudayakan muzik memang susah. Takat nak dengar layan perasaan je tu memang majoriti buat tapi untuk menyokong memang jauh panggang dari babi.
Aku rasa kalau ada kompeni yang pendapatan dia memang banyak dari atas talian atau kompeni yang perlukan ruang kecil dan bekerja secara terpencil, bolahlah sewa ruang kat gedung ni. Tapi aku tak tau la murah ke tak. Cuma tempat ni memang boleh fokus la buat kerja, takde nak fikir makan apa sedap ke, nak pergi sana sini beli belah ke, sebab memang secara harafiahnya tak ada apa sangat kat sini. Mungkin tempat ni walau dah cantik gedung dan tempatnya tapi persekitarannya tak tumbuh dengan organik. Sebab tu terus mati. Tapi nak bertenang dan berfikir kat sini okey la, ye lah, macam kau pergi menenangkan diri kat tanah perkuburan. Memang zen habis.
*
Sebenarnya aku tak bercadang pun nak tonton wayang semalam, walau masa Wayang Budiman hari tu Saat dah cakap dan ajak nak pergi tengok Oppenheimer kat Space U8. Aku teruja juga tapi yelah, aku sedar diri, mana ada duit sangat. Aku cakap minggu depan la, sekali terus maraton Barbenheimer. Dapat dekat budak-budak lain terus macam-macam idea dia. Aku ajak tengok Oppenheimer kat Imax sebab aku ingat semua orang pun terikut dengan dakyah filem ni kena tengok kat Imax. Walaupun sebenarnya aku macam ada idea nak tengok kat Imax lepas sebulan ke macam tu, sebab dengar cerita sampai berapa minggu ni Imax manjang je penuh. Ada yang malas nak tengok Barbie. Aku kena tengok Barbie sebab Ryan Gosling. Kahkah. Lepas tu ada jugak ajak maraton terus Oppenheimer, Barbie, Mission Impossible dengan Indiana Jones. Tu belum masuk cerita lagi tiba-tiba nak buat maraton kat rumah, pasang filem-filem Nicholas Cage. Aku apa lagi tambah nasi la, haa kita tengok filem-filem macam tu, Alien, Mission Impossible, Starship Troopers dan lain-lain filem macam tu. Lepas tu dia jadi, okeh nak tengok rumah siapa dan terus jadi okey kita gilir-gilir rumah.
Aku syak boleh kot aku anjurkan acara tonton filem haram kat rumah.
*
Okeh, berbalik kepada Oppenheimer, masa aku cakap dengan Saat tu, dia macam eh, bukan kata nak pergi minggu depan ke. Aku macam, esok kebetulan free. Nak tengok pukul berapa? Sebelas pagi? Dia terus bagi tangkap layar dekat MBO dan GSC. Aku tanya GSC mana ni? Dia cakap SCM, terus aku macam, kahkah tak payah lah sebab esok Ahad, kompom penuh. Memang dalam tangkap layar tu dah separuh panggung penuh. MBO dia tak tunjuk kerusi panggung, jadi tak tau la penuh ke tak. Tapi mendengarkan reputasi Space U8 aku malas nak fikir dah sebab... hehe. Lepas tu Saat tanya, siapa lagi ikut? Aku cakap kejap aku tanya Beduk. Bila aku tanya Beduk, kira maksudnya aku tanya Beduk sekali dengan Bob la. Beduk cakap pukul sebelas pagi tak sempat. Aku cakap, okey, pukul satu. Aku roger Saat, pukul satu okey ke? Dia cakap okey. Aku cakap Beduk okey pukul satu. Lepas tu dia tanya dah tengok ke, takut esok penuh. Aku tak tahu nak jawab apa, aku cakap je la tadi Saat tengok. Tu je la walaupun jawapan tak menyakinkan.
Aku janji dengan Saat jumpa kat Rahmath pukul dua belas tengah hari. Aku rasa awal gila sebab boleh la kot minum dulu. Kebetulan pula aku bawa cekodok, boleh la makan sikit. Dengan kadang-kadang aku salah bajet masa, ingat boleh ngam sampai pukul dua belas, sekali lambat dua puluh minit ke setengah jam camtu la. Tapi semalam aku sampai ngam sebab aku keluar awal nak pergi isi minyak. Sampai je Rahmath, Saat dah tunggu kat motor, dan baru nak masuk Rahmath, aku ikut belakang dia. LEpas tu dia cakap okey jom gerak. Aku macam, eh terus gerak ke? Haah, nanti tak sempat. Aku macam, oh ingat Space U8 dekat je. Sebenarnya memang dekat, cuma pusing-pusing parkir-parkir naik lif apa semua, dekat setengah jam semua sekali.
Lepas Beduk sampai, bari kitorang beli tiket (Beduk sampai sama dengan kitorang tapi dia parkir motor kat luar, kitorang kat dalam, jadi tunggu dia masuk dan naik). Waktu tu baru aku cakap, takut penuh ke apa, Saat steady je jawab, kalau penuh kita pergi lepak minum la. Bernas juga cadangan tu. Sedangkan aku pernah dari Segamat pergi ke Melaka untuk tengok wayang lepas tu segala tayangan penuh dan lepas tu kitorang lepak mamak je kesudahannya (ada diceritakan separa fiksyen di dalam antologi Tandoori Nan Sekeping) ni pulak setakat pergi Space U8.
Okeh, beli tiket, aku tengok dalam skrin, setakat ni, baru ada tiga orang beli. Kahkah.
Hari Ahad woi. Dah rasa macam tempah satu panggung untuk diri sendiri je ni. Ni maknanya okey juga la kalau nak datang lain kali sebab memang tak penuh. Aku tanya Saat pernah ke dia penuh, Saat cakap masa Ombak Rindu. Aku macam syak masa Mat Kilau pun sama kot kalau begitulah dia punya khalayak.
*
Ulasan ringkas tentang Oppenheimer dari budak-budak (aku syak budak sekolah) yang duduk kerusi belakang kerusi aku beberapa baris;
"..baik tengok Mission Impossible."
*
Aku sebenarnya macam heran juga kenapa orang tak minat Tenet. Masa aku tengok Tenet, aku masih belum faham tentang perihal Nolan ke apa ke, aku cuma ingat Inception dan juga Dark Knight sebab dua ni memang aku minat. Masa tu aku belum tengok Interstellar. Pernah tengok Memento tapi tak faham - mungkin sebab takde sarikata. Dunkirk, Following, The Prestige dengan Insomnia tak pernah tengok. Trilogi Batman aku tengok semua tapi masih tetap rasa Dark Knight paling membekas. Biasa aku tengok filem, aku akan perhatikan jalan cerita dan cerita. Masa tengok Oppenheimer, aku boleh kata macam jalan cerita dia terus takde belok-belok pada separuh yang pertama, separuh masa kedua pula, baru nampak dia punya plot dan jalan cerita banyak belok belok. Rasa separuh masa kedua lagi suspens. Tapi macam biasa la, aku kena tunggu, beberapa hari, minggu atau bulan sebelum sesuatu yang membekas tu nampak bekas dia. Macam Tenet la. Lepas tonton kat panggung aku rasa menarik premis ideanya tapi aku rasa nak kena tengok balik sebab nak tengok secara terperinci dan lebih faham. Lepas beberapa bulan, dia datang balik teringat pasal Tenet rasa macam superb betul idea cerita dia. Jadi aku tengok lagi sekali kat internet. Semua jadi lebih jelas sebab ada beberapa babak yang rasa tak berapa jelas (tapi sikit je la).
Aku rasa, mungkin ada beberapa cara orang tonton filem dan ini aku pelajari dari Wayang Budiman.Sebab minggu lepas, masa tonton filem Wim Umboh, Pengemis Dan Tukang Becak, kualiti dia agak rendah (berkali-kali juga moderator Dr Norman minta maaf sebab hal ni, aku memang tak faham sebab minta maaf sekali okey kot, cuma mungkin bagi pihak penganjur, ia rasa macam sesuatu yang agak tak mencapai piawaian kot) dan tak ada sarikata, jadi memang agak bergelut juga memahami dialog sebab selain tak ada sarikata, bunyi juga agak berdengung dan tak jelas (Dr Norman kata mungkin masalah pembesar suara, sebab dengar di komputer riba, masih jelas lagi bunyinya. Aku ingat kalau aku kaya, aku taja Wayang Budiman terus tempat dia jadi macam panggung siap ada mesin espresso), jadi semua orang menonton berpandukan, sama ada visual atau jalan cerita. Aku memang tak faham sangat apa dia cakap, tapi aku cuba buat-buat faham dari butir kata selain dari panduan visual. Ada yang memang bergantung pada visual sepenuhnya. Tapi lepas tu aku perasan macam ada juga tak faham walau tonton ikut visualnya. Sementara aku yang tonton ikut pergerakan cerita, macam dapat tangkap hampir keseluruhan ceritanya.
Aku syak mungkin itu jugak la sebab orang macam tak faham Tenet. Visual ada tapi tak mengikuti pergerakan cerita. Mungkin la. Sebab aku ada rasa macam kebanyakan filem yang dikategorikan sebagai prestij, macam tak begitu tekankan cerita, ia kabur dan banyak perkara tersirat (kedua-duanya sama ada sengaja atau tidak). Mungkin sebab definisi penting filem ialah visual dan bunyi. Entah, aku palatao je.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan