Tazkirah pagi. Begitulah.

Aku sebenarnya dah hampir nak tulis entri kat Facebook, 'Semoga tuhan lebih menyayangi Hadi' dan kemudian kalau ada orang serang ke komen apa-apa ke, aku cuma balas dengan emoji gelak. Tapi lepas tu aku rasa macam malas. Tapi lepas tu liat pulak nyawa orang tua kutuk tu, memang betul la orang cakap, orang jahat biasa susah nak mati. Atau pun mungkin sebenarnya anak dia yang gelabah sternum, takat demam biasa dah sibuk minta doa itu ini, bagi harapan palsu betul. Baru bercadang nak pergi makan Woodfire. Tak, bukan untuk meraikan kematian dia, tapi meraikan terhentinya sumber hasutan dan kebencian pada sebahagian masyarakat yang taklid memhadibuta. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu la, sebelum orang lain ambil alih. Haih penat. 

*

Walau isu agak lewat, tapi sebab aku baru terfikir, jadi aku kongsikan juga pandangan aku terhadap insiden seorang perempuan yang disaman di Kelantan kerana berpakaian tidak sopan. 

Macam biasalah, dalam satu-satu isu, memang ada banyak orang akan berikan pendapat (walaupun kita tak tanya). Aku tak teliti sangat hal tu, cuma pagi tadi masa hantar Ariana pergi sekolah, kebetulan radio memang tengah bincang hal tu. Aku rasa stesen radio ni ada tanya seorang pakar undang-undang tentang hal itu dan beliau menyatakan tindakan majlis pihak berkuasa tempatan menyaman perempuan itu sebenarnya tak berapa tepat. Katanya, dari segi perundangan memang ia macam jatuh dalam kategori kabur sebab alasannya tindakan saman dikenakan ialah kerana berpakaian tidak sopan. Dan pakar undang-undang itu kata, apa definisi pakaian sopan? Berbanding kalau undang-undangnya ialah menutup aurat, maksudnya kena saman sebab tak tutup aurat, ia memang jelas sebab definisi aurat itu memang ada. Cuma ia tak boleh dikenakan terhadap bukan penganut sebab definisi aurat itu tak tertakluk kepada mereka. Lebih kurang macam tu la. 

Di antara tarikh insiden sampai sekarang, dah macam-macam hal berlaku dan beberapa perkara telah berbangkit, contoh macam ada parti politik yang menawarkan khidmat perundangan tapi pihak perempuan itu (bapanya kot kalau tak silap) menolak dan memilih untuk bayar je saman tu (sebab RM50 jee dan mungkin juga sebab dia tahu kalau dia ambil pun tawaran tu, apa je dia nak buktikan, sebab dia masih duduk dalam kelompok tu dan ia takkan jadi mudah selepas tu), begitu juga dengan hal pihak majlis berkuasa tempatan yang menarik balik saman dan menjelaskan kenapa tindakan itu diambil pada awalnya. Tapi paling menarik bagi aku, ialah tentang pakaian perempuan itu pada ketika dia disaman. Mungkin tak ramai yang peduli atau ramai yang anggap ia bukan isu, tapi pada aku, ia penting juga. Sebab masa awal isu itu tular, kita semua ditunjukkan contoh pakaian yang pakai (walaupun sebenarnya itu bukan pakaian yang dipakai ketika insiden). Kalau ingat, kita semua baca berita yang ada perempuan itu pakai baju t yang sedang-sedang dengan tubuh (maknanya tak terlalu ketat atau longgar, dan tak labuh tapi tak singkat) bersama seluar jean pendek. Kalau sekali lihat memang kita tahu la, ini memang pakaian biasa amoi-amoi. Tapi yang tak ditunjuk ialah pakaian sebenar ketika disaman. Hanya selepas tular, baru pihak berkuasa tempatan  siarkan gambar ketika insiden itu berlaku. Bila aku tengok gambar tu, jadi aku faham la kenapa perempuan tu kena saman (tapi ingat, di sini bukan bermakna aku setuju perempuan tu kena saman, tapi aku jadi faham kenapa penguatkuasa tu saman perempuan tu).

Perempuan tu pakai seluar pendek, ya sama kepanjangannya macam yang dalam gambar masa awal-awal tular, cuma bezanya, ketika kena saman tu, dia pakai baju labuh. Maknanya dia pakai baju besar dan labuh. Dan kalau korang mula persoalkan, apa je beza siut, bukan lagi sopan ke baju besar dan labuh, biarkan aku terangkan dalam konteks paling naif dan suci, dari konteks budak-budak. Dari konteks Ariana.

Kenapa Ariana, bukan Gibran? Sebab Ariana pemegang kad OKU kategori intelektual. 

Untuk bagi senang faham, walau Ariana sekarang umur sepuluh tahun, tapi dia masih Ariana yang berumur tiga tahun (sebenarnya aku tak tahu la nak kata tiga tahun ke tak sebab ada rasa Ariana sebenarnya dah lebih pandai dari budak tiga tahun tapi aku kata tiga tahun sebab masa diagnos dengan doktor masa awal-awal dulu, dia kata Ariana akan selamanya tiga tahun - tapi sebenarnya tak senang jugak nak faham sebab bila aku cakap dekat orang, Ariana ni tiga tahun selamanya, terus diorang ingat Ariana tak pandai jalan merangkak apa semua tu. Aku macam jem kejap tapi ye lah, aku anggap diorang tak tahu sebab tak ada anak jadi tak tahu yang budak umur setahun lebih dah boleh berjalan. Yang tak sampai setahun pun ada). Aku sampai sekarang tak pasti sama ada Ariana dah masuk kategori mumayiz ke belum, tapi aku syak belum, sebab aku masih kena ajar dia tentang aib. Maknanya kena sentiasa ajar dia berpakaian dengan sempurna dan selalunya aku akan ajar dengan cakap, heii malu la.. eeee. lebih kurang macam tu.

Maknanya kalau lepas mandi, kena suruh dia cepat-cepat pakai tuala dan pakai baju dalam bilik. Atau kalau dia tak pakai seluar, aku akan cakap eeeeeeeee dan suruh dia ambil seluar cepat. Atau kalau dia keluar dari pintu rumah tak lengkap berpakaian pun aku akan cakap benda sama.

Jadi, nak jadikan cerita, pernah sekali aku bawa Ariana pergi keluar jalan-jalan kat gedung beli belah mana entah, tapi kawasan urban la, dan tiba-tiba Ariana dengan selamba panggil aku dan tunjuk kat dua orang perempuan (Melayu aku rasa sebab nampak macam Melayu pun) dan cakap eeeeeeeee. Aku dah tahu dah kenapa, terus aku tarik Ariana pergi jauh-jauh (walaupun sebenarnya bukan aku yang patut malu, atau salah aku tak ajar anak ke apa, tapi kenapa Ariana buat macam tu sebab dua-dua perempuan tu tengah pakai seluar pendek yang singkat, hot pants kata orang. Tapi sudah tentu, mana Ariana faham hot pants tu apa). Tapi berdasarkan reaksi Ariana ni, bolehlah kaitkan semula dengan kenapa perempuan tadi kena saman. 

Kalau tak faham juga, ye lah aku bagitau je lah, sebab bila perempuan tu pakai baju labuh, dia nampak macam tengah tak pakai seluar, oleh itu = tak sopan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan