Oleh sebab aku dah habis tulis novelet (akhirnya), aku akan mula perlahankan aktiviti menulis untuk beri laluan kepada hal-hal lain, seperti mengembalikan rutin dan diet (paling utama, ada lebih kurang dua puluh kilo nak buang - diet dan bersenam), membaca, dan mula kembali ke kafe. Jadi berdasarkan pengalaman awal tahun, ia agak susah juga nak imbangkan dengan hal-hal penulisan, paling senang fokus ialah membaca - sebab aku ada sangat banyak buku tak habis dan tak mula lagi baca, juga sebab aku dah rasa macam hilang.. emm apa eh namanya, rujukan? Senang cakap, setiap kali idea datang, ia berlegar lebih kurang sama dan aku sendiri rasa ia macam klise untuk diri sendiri, jadi aku ada rasa kena step up the game, dan mula membaca sesuatu yang baharu, bawaan idea baharu, bentuk gaya yang baharu, dan juga untuk bentuk gaya kontemp yang baru. Ada beberapa projek lagi sebenarnya nak kena siapkan, tapi aku fikir lagi penting aku refresh dulu tapi dalam waktu yang sama, aku akan terus catat idea-idea dan draf, dan juga akan set sedikit waktu untuk habiskan idea-idea itu, kira sekurang-kurangnya kalau sikit pun, bagi jalan la jugak.
Macam awal tahun, aku syak aku mungkin dah tak dapat datang Wayang Budiman sebab jadual bertindih. Nak lepak Rahmath okey je lagi sebab tak bertindih. Mungkin akan jadi macam dulu kot, akan datang lambat, mungkin sejam atau setengah jam selepas acara bermula. Yang tak syoknya sebab Wayang Budiman untuk setengah tahun kedua 2023 ni dah lagi banyak slot, sampai aku rasa ia dah jadi seminggu sekali, dan seminggu tu kadang-kadang ada dua slot (untuk dua hari).
*
Dulu aku pernah senaraikan semua bentuk yang aku mahu tulis (novel, novela, novelet, cerpen, mikrocerpen) dan setakat lepas siap novelet semalam, aku tinggal nak tulis novel dan mikrocerpen (mikrocerpen sebenarnya sedang berjalan sebab ia projek jangka masa panjang, jadi memang dari tahun lepas aku mula kumpul bahan, dan selebihnya menunggu idea datang. Aku target 100 mikrocerpen atau cerpen pendek yang setiap satu jumlah patah perkataan kurang dari seribu. Ada seratus patah perkataan, ada tiga ratus patah perkataan, ada beberapa puluh patah perkataan je, aku cuba untuk imbangkan supaya dapat tangkap dia punya lingkungan bawah seribu tu bukan sekadar mikro sangat (sebab nanti nampak macam puisi healing pulak) semuanya atau banyak yang mendekati seribu sangat semuanya. Setakat ni dah berjaya buat 22 buah dan ada lagi 78 nak kena setelkan, aku harap tak sampai sepuluh tahun la). Mungkin akan cuba buat novel ada idea yang sangat ringkas (wicis tak berapa bagus sangat sebab takut jadi macam novelet - aku pantser keseluruhan novelet menyebabkan ia ambil masa yang sangat lama nak siapkan). Tapi selain novel, ada beberapa medium random yang aku nak cuba, iaitu puisi, skrip filem dan juga filpen. Hari tu aku siap terfikir nak buat skrip drama radio. Entah kenapa ek, tapi aku teringat dulu masa kecik, sebelum pergi solat Jumaat, mesti radio apa entah aku tak ingat, akan pasang sedikit sketsa tentang apa entah, rasanya pasal syaitan yang menyesatkan manusia. Sebab paling sangat membekas dalam ingatan ialah permulaan sketsa atau drama radio tu, bermula dengan deringan telefon. Lepas tu telefon diangkat dan dialog pertamanya ialah "Helo? Syaitan di sini. Siapa di sana?" Punya la popular skit ni sampai kitorang kat sekolah selalu ulang dialog tu, helo? syaitan di sini. Itu je lah yang aku ingat, yang lain apa benda dia cerita semua aku tak ingat. Tiap-tiap kali Jumaat sebelum pergi masjid mesti diorang pasang tu (oh, aku baru ingat, ni masa aku sekolah rendah dan Johor cuti hari Jumaat lagi, sebelum diorang tukar cuti jadi Ahad, dan lepas tu sekali lagi tukar jadi hari Jumaat, sampai sekarang).
Kalau ikut pada Bukowski punya profil, aku patut tambah lagi satu, iaitu kolumnis. Tu mungkin lambat lagi sikit kot, sebab setakat ni tak jumpa sokabar ke apa medium ke yang cukup popular dan melawan arus sikit untuk kolum aku sebab aku bukan reti nau pun nak tulis esei. Ni la kena baca balik Hishamudin Rais. Aku baru selongkar balik pemacu external aku dan aku baru sedar aku simpan segala tulisan kolum Hishamudin terus dari laman web dia. Masa tu dia menulis untuk Malaysia Today (kot, aku lupa). Haa ni pun salah satu sebab aku nak kena mula membaca balik, sebab banyak arkib yang aku simpan tak baca lagi.
*
Jap aku senaraikan balik tadi apa
- Novel
- Novela (/)
- Novelet (/)
- Cerpen (biasa dan panjang) (/)
- Mikrofiksyen
- Puisi
- Skrip (filem dan drama radio)
- Filem pendek
- Kolum
Tiada ulasan:
Catat Ulasan