Wayang Budiman (Drama Manusiawi Wim Umboh): Senyum Di Pagi Bulan Desember (1974)

Filem ini dimulakan dengan nota dari penerbit, (lebih kurang la, dah lupa, atau boleh jadi itu motto syarikat) paparan logo syarikat, dan kemudian ada ayat - menghasilkan filem-filem; bermutu tapi komersil dan komersil tapi bermutu. Saya dapat memahami ayat ini, kerana saya sendiri bergelut dengan keadaan yang sama dalam tulisan-tulisan saya. 

Menonton filem ini, secara keseluruhannya, saya dapat bayangan ini adalah filem sempurna. Bukan sempurna dalam erti kata sempurna itu sendiri (atau kalau dalam penilaian 10/10), tapi ia adalah filem yang mengejar kesempurnaan dalam garapan dan pembikinannya. Saya tak pasti jika terma ini atau konsep ini wujud, tapi dari mula bingkai awal filem ini dimulakan, saya dapat rasakan pengarahnya, Wim Umboh, memang agak detail dalam mendapatkan bingkai atau syot yang diingini. Sebenarnya pendapat peribadi saya, saya tak begitu gemar dengan teknik penggambaran jarak dekat dalam era sekitar lapan puluhan (atau mungkin dah bermula dari tujuh puluhan, tapi saya fikir kebanyakan teknik jarak dekat ini dapat saya lihat dalam filem-filem era lapan puluhan, sama ada di dalam negara, atau luar negara, seperti Hong Kong contohnya) mungkin saya fikir ia tak begitu estetik, atau mungkin juga sebab sekarang sudah punya teknologi kamera yang lebih canggih, jadi mengambil bingkai dalam rajah yang luas adalah satu bentuk kebiasaan sekarang dan close up sudah tidak lagi kontemporari. Tapi waktu menonton filem ini, baru saya fahami teknik jarak dekat dan jarak medium sebenarnya adalah sesuatu yang cantik dan estetik jika dapat pada pengarah yang pandai menggunakannya. Imbas kembali dalam (mungkin) sepuluh minit awal, banyak jarak medium yang buat saya kagum, terutamanya bila subjek sedang bergerak dan subjek-subjek ini masih lagi di dalam kekal di bingkainya (di tengah-tengah bingkai). Saya boleh bayangkan pengarahnya sedang cuba mendapatkan hasil yang baik dari syot-syot ini berulang-ulang kali.

Penataan muziknya, adalah perkara kedua yang saya perasan tentang filem ini. Mungkin saya sedang merujuk kepada lagu yang ada di dalam filem ini, kerana rasanya muzik latar, pada sesetengah waktu terasa seperti membingitkan, tapi bila fikir kembali, mungkin kerana ia sesuatu kebiasaan untuk filem-filem waktu itu (tapi kalau 2023 masih lagi nak bunyi bingit macam tu.. ehem Imam ehem). Mendengar lagu di babak pembukaannya, memang menarik perhatian saya, lebih lagi saya memang sedang mencari bunyi-bunyi yang saya mahukan dalam perjalanan muzik saya, dan mendengar vokal yang dreamy (atau syurgawi, haha sebab sebenarnya ia adalah vokal seperti koir di gereja) buat saya terfikir sejenak. Dan bila saya cuba cari maklumat tentang lagu itu, memang tak berjumpa. Sebaliknya saya dapat maklumat penataan muzik dibuat oleh Idris Sardi (menurut wiki, Idris Sardi adalah pemain biola dan komposer lagenda  Indonesia, beliau bermain biola sebermula umur 10 tahun dan mereka gelarkannya anak ajaib bagi permainan biola. Fakta menarik: watak Bunga dalam filem ini dilakonkan oleh Santi Sardi, anak perempuan Idris Sardi). Saya cuba mencari lagu dalam filem ini di Spotify tapi tiada, walau katalog Idris Sardi ada di Spotify  tapi ia tak merangkumi lagu dalam filem ini. 

Semalam pada waktu sesi diskusi, ada seseorang menyebut bagaimana watak Bunga ini, walau hanya berumur lima tahun (pelakonnya Santi Sardi juga berumur lima tahun ketika filem dirakam) tapi ketika berlakon, dia menjadi seseorang yang lebih tua berbanding umurnya. Ketika dikongsikan hal itu, semua mungkin tak dapat tangkap, tapi saya fikir mungkin apa yang dimaksudkan ialah tentang kematangan seseorang pelakon (terutamanya kanak-kanak) ketika menjiwai watak. Walau baru berumur lima tahun, tapi lakonan Santi Sardi nampak sangat semulajadi bagi seorang kanak-kanak. Dari ekspresi muka, hingga lontarannya, seperti kita lihat seorang dewasa yang sedang berlakon (bagi seorang kanak-kanak la). 

Selain itu, saya fikir pemilihan pelakon semuanya sangat bertepatan dengan watak-wataknya. Saya tak mengenali semuanya (kecuali bila disebut Soekarno M. Noer adalah bapa kepada Rano Karno, saya cuma pernah dengar Rano Karno - dia sangat terkenal pada era sembilan puluhan kot, pernah terbaca pasangan dalam filem yang popular tahun lapan puluhan - Rano Karno dan Lydia Kandou) dan semua agak asing bagi saya. 

Secara keseluruhan, saya fikir filem ini mungkin antara yang akan kekal di dalam fikiran saya, bersama Koozhangal (2021) dan beberapa filem lain yang saya tonton di Wayang Budiman. Walau pada awal entri ini saya katakan ia adalah filem yang dibikin untuk mencapai kesempurnaan (pendapat saya lah), masih ada juga ruang yang mengganggu saya, terutamanya saya sebagai penulis, apa yang saya titik beratkan ialah cerita dan jalan cerita. Seperti contoh, menurut logik, jika kita narapidana yang dalam pelarian, kita akan mahu terus bergerak dan tidak akan sembunyi satu tempat saja. Ia mungkin logik untuk mengatakan ketiga-tiga mereka bersembunyi di rumah tinggal, tapi pada saya, jika kita seorang pelarian, saya akan bersembunyi di gua itu berbanding di rumah usang. Dan kemudian, mengubah penampilan  supaya tidak mudah dikenali - lagi pula zaman tujuh puluhan, ia agak sukar melakukan proses pencarian kerana semuanya manual. Ada juga audiens di Wayang Budiman semalam menyebutkan ia agak lucu dan janggal juga membayangkan tiga narapidana tidak mampu menyelesaikan hal kecil seperti bekalan makanan dan hanya tunggu Bunga memberikan makanan. Walau ada logiknya, tapi saya fikir pengarah ada menjawabnya dalam babak di mana ketiga-tiga mereka mengatakan kelaparan langsung jadikan mereka, selain berang, menjadi dungu kerana tak boleh berfikir kerana kelaparan. Juag mungkin lagi satu saya fikir janggal ialah babak akhir, walau ia mahu dapatkan feel sinematiknya, tapi membawa tiga lori polis (atau askar atau pegawai penjara) untuk menahan mereka bertiga, agak melebih-lebih juga. Sama juga ketika Bakar berlari dari lori untuk mengejar Bunga untuk memeluknya, juga tidak begitu logik kerana sepatutnya tindak balas pertama pihak autoriti ialah menembak Bakar (sama ada di kaki untuk membuatkannya tak boleh berlari lagi, atau tembak mati - jika ia undang-undang membenarkan). 

Antara babak kegemaran saya ialah makan nasi goreng sebelum diserbu, Buang memujuk Bunga dalam bentuk sebuah puisi, dan juga Bunga di Jakarta. 

Lagi dua minggu, lagi satu filem Wim Umboh akan ditayangkan. Dengarnya ia filem yang berjaya dari segi komersil dan popular di Indonesia dan Malaysia pada ketika dikeluarkan. Dan ia juga filem kegemaran peribadi beliau. Harap dapat hadir untuk tonton. 


Petikan dari wiki;

Ahmad Salim (26 Mac 1933 – 24 Januari 1996), lebih dikenali dengan nama lahir Wim Umboh namun juga dikenali dengan nama Cina Liem Yan Yung, merupakan seorang pengarah filem Indonesia yang terkenal dengan karya romantik melodrama. 

Sebagai seorang pengarah autoritarian yang menitikberatkan kesempurnaan, Umboh dikenali kerana mengeksperimenkan dengan teknologi berbeza, menurut rakan pengarah Teguh Karya, mengingati keseluruhan dialog filemnya semasa penggambaran. Beliau lebih mengutamakan penggambaran jarak dekat dan medium. Umboh telah mempengaruhi ramai pengarah-pengarah Indonesia, termasuk Karya, Slamet RahardjoGarin Nugroho, dan Arifin C. Noer, dan karyanya telah melancarkan kerjaya ramai pelakon terkenal Indonesia, termasuk Sophan Sophiaan dan Roy Marten. Antara karya terkenal beliau ialah Pengantin Remadja (Pengantin Remaja; 1971), Mama (1972), dan Pengemis dan Tukang Becak (Pengemis dan Penarik Beca; 1978), yang terakhir antara menjadi kegemaran peribadi Umboh.


Juga saya temui klip pendek dari filem ini ketika mencari lagu dari filem ini, mungkin ini jelah yang saya dapat dengar ulang-ulang. Ada juga terselit babak Buang memujuk Bunga. 

    


Tiada ulasan:

Catat Ulasan