Mosque on Friday.

Aku lupalah sama ada aku pernah kongsikan kat sini ke tak, tapi masa balik Johor beberapa bulan lalu, aku baru perasan ada satu masjid putih yang nampak lawa dan baru kat sebelah lebuh raya. Oleh sebab aku memang jarang balik, memang tak perasan sangat sejak bila ada kat situ. Tapi aku ingat dalam kawasan Johor. Dan aku rasa dia macam baru je bina sebab selama ni tak pernah perasan. Jadi bila lain kali dalam lebuh raya aku, perhatikan sebelah jalan untuk cari masjid tu.  

Lepas tu aku baru tahu masjid tu dalam kawasan Pagoh dan aku cuba la riki ni masjid apa. 

Berdasarkan pencarian, aku dapat tahu masjid tu namanya Masjid Haji Muhammad Yassin dan siap dibina pada September 2020. Ye, sebab tu aku rasa macam tak pernah nampak, sebab memang baru siap pun, lagi pulak 2020 kan tengah pandemik, mana ada boleh nak gerak mana-mana pun. Dan ya, berdasarkan namanya, korang boleh agaklah ni bapa kepada abah cirit korang tu. Lagipun ni memang kawasan dia pun. Berdasarkan pencarian juga, boleh nampak kiri dan kanan masjid ni memang kosong betul, dan kalau dalam lebuh raya tu jalan depan sikit, nampak la ada tanah lapang diorang tengah nak buat unversiti. Oleh sebab aku tak pernah masuk masjid tu atau kawasan tu, ada rasa macam siapa je nak datang ni sebab nampak macam takde kawasan perumahan. Boleh jadi juga dibina masjid tu sebab nanti akan datang bila pembangunan kat sebelah-sebelah dia siap, jadi senang sebab dah ada masjid. Aku boleh spekulasi je lah sebab aku tak ada data yang betul pun. 

Sebenarnya dari dulu lagi aku terfikir, mungkin kalau aku jadi kaya-raya, aku akan buat juga satu masjid atau surau, tapi harapnya dapatlah buat masjid. Sebab aku selalu fikir, kenapa nama masjid selalu nak diarabisasikan sekali? Maksud aku, selain dari nama tokoh, ada kecenderungan bagi nama dalam bahasa arab. Aku faham sentimen bahasa Arab bahasa syurga, tapi katanya bahasa rasmi ialah bahasa Melayu. Contoh, paling banyak aku jumpa ialah masjid bernama As-Syakirin. Haa cuba bahasa Melayukan- Masjid Orang-orang Yang Bersyukur. Okey la panjang sangat, Masjid Kesyukuran pun boleh. Yang lain? Masjid Keharmonian? Masjid Ketakwaan? Masjid Keberjayaan?

Tu belum aku sentuh hal nama masjid yang diambil sempena tokoh-tokoh. Ye, boleh letak nama tokoh, tapi tu lah, jarang jumpa masjid yang akan letak nama sahaja, tak termasuk pangkat, walau haji pun. Entah, aku tak tahu la ni masalah protokol ke apa, tapi ingatlah, macam aku cakap kat atas, kalaulah aku dapat buat masjid nanti, aku akan letak nama masjid tu, Masjid Azman. Simple. Kalau tak masjid, surau pun boleh; Surau Azman.

*

Dalam hal tak berkaitan, pernah dengar cerita, ada budak pernah ditanya solat Jumaat kat mana? Dia jawab kat MSU. Ingatkan jauh betul dia pergi sembahyang Jumaat sampai ke Shah Alam belah sana, rupanya budak tu maksudkan MSU tu Masjid Saujana Utama. Wallahualam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan